KENALI GEJALA, PENYEBAB & RAWATAN EKZEMA

Ekzema adalah istilah kondisi perubatan yang menyebabkan kulit menjadi radang. Jenis ekzema yang paling biasa dikenali sebagai dermatitis atopik, atau ekzema atopik. Atopik merujuk kepada sekumpulan penyakit yang diwarisi di mana ianya akan menyebabkan alahan lain, seperti asma dan demam.

Kondisi kulit ini menjejaskan kira-kira 10% hingga 20% bayi dan kira-kira 3% orang dewasa dan kanak-kanak di A.S. Bayi merupakan kumpulan yang paling kerap mengalaminya dan terdapat juga sesetengah individu yang mengalami masalah tersebut sepanjang hidup mereka. Anda juga perlu ketahui bahawa penyakit ini dapat dikawal dengan rawatan yang betul.

Apakah Gejala Ekzema?

Amat sinonim dengan rasa gatal. Kadang-kadang gatal akan bermula sebelum ruam muncul dan selalunya ia sering muncul di bahagian muka, belakang lutut, pergelangan tangan, tangan atau kaki. Ia juga boleh menjejaskan kawasan lain.

Kawasan yang terjejas biasanya kelihatan sangat kering, menebal, atau bersisik. Bagi individu berkulit putih, kawasan ini pada awalnya kelihatan merah dan kemudian menjadi coklat manakala individu yang berkulit gelap, ekzema boleh mempengaruhi pigmentasi, menjadikan kawasan yang terkena lebih cerah atau sebaliknya.

Bagi bayi, ruam gatal akan menyebabkan kerengsaan diikuti dengan kerak yang berlaku terutama pada kawasan muka dan kulit kepala.

Penyebab Kepada Masalah Ini?

Penyebab sebenar penyakit ini masih belum diketahui, tetapi ia dianggap keadaan yang berkaitan dengan tindak balas yang terlalu aktif oleh sistem imun badan untuk merengsa.

Selain itu, ia biasanya diwarisi dalam keluarga dengan sejarah alahan atau asma. Di samping itu juga, abnormaliti pada kulit boleh menyebabkan kehilangan kelembapan dan keadaan ini akan mendedahkan kulit pada kuman persekitaran.

Sesetengah individu mungkin mempunyai ruam gatal akibat alahan terhadap bahan atau keadaan tertentu. Manakala terdapat juga sesetengah individu apabila bersentuhan dengan bahan kasar boleh menyebabkan kulit mereka menjadi gatal. Kondisi terlalu panas atau terlalu sejuk, pendedahan kepada produk rumah tertentu seperti sabun atau detergen, atau bersentuhan dengan haiwan juga boleh mencetuskan ekzema. Infeksi pada sistem pernafasan atau selesema juga boleh menyebabkan tidak balas ekzema.

Walaupun tiada ubat spesifik, kebanyakan individu yang menghidapi ekzema dapat mengurangkan intensiti ekzema dengan mengelakkan kerengsaan. Perlu anda ketahui bahawa ekzema tidak menular dan bukan sejenis penyakit yang berjangkit.

Bagaimana Ianya Didiagnosis?

Seorang pakar pediatrik atau pakar dermatologi boleh membuat diagnosis ekzema. Walaupun tiada ujian spesifik untuk menentukan kondisi tersebut, para doktor selalunya dapat mengenalpasti ruam pada kulit adalah ekzema atau tidak dengan melihat ruam tersebut dan disertai dengan beberapa soalan kepada pesakit.

Oleh kerana ramai individu yang mempunyai penyakit ini turut mempunyai reaksi alahan, para doktor mungkin akan melakukan ujian alergi. Kanak-kanak dengan ekzema selalunya akan melalui ujian ini.

Rawatan?

Matlamat rawatan untuk penyakit ini adalah untuk melegakan dan mencegah rasa gatal yang boleh menyebabkan jangkitan. Oleh kerana penyakit ini menjadikan kulit kering dan gatal, maka losyen dan krim amat disyorkan untuk menjaga kelembapan kulit. Losyen dan krim ini biasanya digunakan semasa kulit lembap seperti selepas mandi untuk memerangkap kelembapan tersebut daripada tersejat. Bersentuhan dengan objek sejuk juga dapat melegakan rasa gatal ekzema.

Krim hydrocortisone 1%, atau krim preskripsi dan minyak yang mengandungi kortikosteroid, sering dicadangkan untuk mengurangkan keradangan. Di samping itu, jika kawasan yang terjejas dijangkiti, doktor mungkin akan mempreskripsikan antibiotik untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan.

Rawatan lain termasuklah:

  • Antihistamin bertujuan untuk mengurangkan rasa gatal yang keterlaluan
  • Rawatan tar (bahan kimia yang direka untuk mengurangkan rasa gatal)
  • Fototerapi (terapi yang menggunakan cahaya ultraviolet pada kulit)
  • Siklosporin bagi individu yang tidak bertindak balas terhadap pada mana-mana rawatan di atas.

Bagaimana Ianya Dapat Dicegah?

Dalam kondisi yang tertentu, masalah ini dapat dielakkan dengan tip-tip seperti di bawah:

  • Kekalkan kelembapan kulit.
  • Elakkan perubahan suhu atau kelembapan secara tiba-tiba.
  • Elakkan berpeluh atau terdedah kepada keadaan yang terlalu panas.
  • Kurangkan tekanan emosi.
  • Elakkan bahan-bahan yang bergesel seperti bulu.
  • Elakkan daripada bersentuhan dengan sabun, detergen, dan pelarut yang kuat.
  • Berhati-hati dengan makanan yang boleh menyebabkan pencetusan ekzema.

Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat memberi info yang berguna bagi anda yang mempunyai masalah ekzema. Sekian